Pastikan telus beri biasiswa latihan kepakaran, kata kumpulan perubatan kepada KKM

Pastikan telus beri biasiswa latihan kepakaran, kata kumpulan perubatan kepada KKM

PETALING JAYA: Malaysian Medics International (MMI) menggesa kerajaan bersikap telus dalam penawaran biasiswa doktor kontrak untuk mengikuti latihan kepakaran mereka.

Ia antara cadangan yang disenaraikan susulan janji kerajaan untuk memperbaiki sistem kontrak bagi profesional penjagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengulangi janji kerajaan di Dewan Rakyat baru-baru ini, untuk membenarkan pegawai perubatan kontrak memohon biasiswa penuh daripada kementerian untuk menjalani program kepakaran ketika bekerja (Hadiah Latihan Persekutuan atau HLP).

MMI juga meminta penjelasan lebih terperinci mengenai belanjawan yang diperuntukan untuk pemberian biasiswa HLP terbabit.

“Kami sekali lagi ingin menggesa ketelusan sepenuhnya dalam kriteria pemilihan bagi biasiswa ini kerana kami yakin pengagihan secara adil dan saksama amat diperlukan di tempat kerja,” kata MMI dalam satu kenyataan.

“Kami mencadangkan sebarang tindakan segera itu dibiayai di bawah Bajet 2022. Sebarang tindakan jangka panjang yang dirancang boleh dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).”

Di samping itu, MMI menggesa kerajaan untuk mewujudkan Jawatankuasa Bebas Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Kebangsaan yang turut dianggotai wakil daripada agensi kerajaan berkaitan, profesional bebas dalam bidang penjagaan kesihatan dan persatuan perubatan termasuk persatuan pelajar perubatan.

“Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab menyediakan draf pelan transformasi sistem penjagaan kesihatan kebangsaan dan menggariskan tindakan jangka panjang. Ini boleh dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.”

MMI turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mempertimbangkan pelaksanaan manfaat kebajikan yang sama untuk profesional penjagaan kesihatan tetap dan kontrak.

Ini termasuk kriteria yang sama untuk memenuhi syarat mendapat biasiswa persekutuan, memperluaskan kelayakan cuti belajar bergaji penuh untuk jawatan kontrak, membenarkan cuti tanpa rekod khas untuk calon yang mengendalikan prosedur berkaitan laluan kepakaran yang lain dan menyeragamkan syarat kemasukan ke program ijazah sarjana tempatan.

MMI berkata walaupun terdapat lebihan pegawai perubatan di Malaysia namun bilangan pakar masih tidak mencukupi yang mungkin disebabkan oleh kekurangan peruntukan dana, perunding pengajar dan kemudahan latihan.

“Oleh itu, kita menggesa Kementerian Kesihatan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan bagi menambah peruntukan untuk pendidikan perubatan pasca siswazah dan meneliti punca kekurangan sumber berkenaan.

“Kami menggesa kerajaan mengkaji kemungkinan untuk melibatkan penyedia penjagaan kesihatan swasta yang berkelayakan ke dalam program latihan tempatan untuk pakar.”

Pertubuhan itu berkata langkah terbabit boleh membantu memperluaskan peluang latihan kepakaran sedia ada dan mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Profesional penjagaan kesihatan dalam latihan adalah tulang belakang kepada sistem penjagaan kesihatan masa depan kita.

“Kami merayu supaya mereka diberi peluang untuk mencapai potensi diri sebenar ketika latihan dan opsyen kepakaran itu dijamin,” kata MMI.

Sumber kandungan: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/18/pastikan-telus-beri-biasiswa-latihan-kepakaran-kata-kumpulan-perubatan-kepada-kkm/?__cf_chl_jschl_tk__=pmd_3MIBmGj4oredEqybB6OWhJ7kQqpQiHqSXQkTS2lhepk-1632032958-0-gqNtZGzNAqWjcnBszQi9



Message Us on WhatsApp